Friday, January 9, 2009
Karpal Sudah Faham Hudud, Kata Hadi
KUALA TERENGGANU, 9 Jan (Bernama) -- PAS berkata parti ini tidak perlu lagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan hukum hudud dan qisas kepada Pengerusi DAP Karpal Singh kerana anggota Parlimen Jelutong itu telah faham mengenainya.
Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata soal pelaksanaan hukum tersebut telah pun dijelaskan kepada para pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk pemimpin DAP.
"Kita dah pernah buat seminar dan berbincang pasal benda ini (hudud dan qisas) kepada semua pemimpin Pakatan Rakyat. Saya rasa tak perlu lagi saya nak jelaskan kepada DAP kerana saya rasa Karpal Singh (Pengerusi DAP) dah faham.
"Sekarang ini persoalannya kenapa Umno menolak untuk dilaksanakan hudud? Saya bersedia untuk berbincang dan memberikan penjelasan kepada Umno mengenai hudud," katanya kepada pemberita di kediamannya di Rusila, Marang.
Beliau diminta mengulas kenyataan Karpal Singh yang meminta parti itu menjelaskan mengenai pelaksanaan hukum hudud itu.
Beliau berkata PAS sedia berbincang dengan Umno bagi memberikan penjelasan mengenai implikasi hukum itu sekiranya ia dilaksanakan.
Semalam, Karpal Singh dalam kenyataannya dilaporkan berkata kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan hukum hudud hanya terpakai kepada orang Islam dan bukannya di seluruh negara adalah mengelirukan.
"Mungkin Abdul Hadi patut memberikan penjelasan sama ada hukum hudud yang ingin dilaksanakan PAS terpakai kepada orang Islam dan juga bukan Islam sekiranya PAS berjaya menubuhkan sebuah negara Islam. Demi kepentingan orang ramai, beliau patut berbuat demikian," kata Karpal Singh.
Hadi berkata hukum hudud itu hanya diwajibkan kepada masyarakat yang beragama Islam sahaja dan bukan Islam boleh memilih sama ada mahu menerima pakai hukum itu atau undang-undang sivil.
"Dalam draf undang-undang ini ayatnya orang yang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu hudud dilaksanakan ke atas mereka atau mereka boleh memilih undang-undang sivil.
"Tetapi pelaksanaanya bergantung kepada kerajaan pusat kerana kerajaan negeri tiada kuasa kerana kita tak cukup syarat lagi nak laksanakan. Orang Islam mereka kena hudud.
"Jangan fikir bila hudud dilaksanakan, ramai orang akan cacat kerana berebut nak potong tangan sebab mencuri. Ini akan menjadikan mereka itu lebih takut untuk melakukan jenayah," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment