Tuesday, September 2, 2008

CUTI UMUM DI SEMUA NEGERI PAKATAN RAKYAT 16 SEPTEMBER INI

KOTA BHARU, 2 Sept (Hrkh) - Cadangan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya negeri-negeri diterajui Pakatan Rakyat menjadikan 16 September ini sebagai cuti umum turut mendapat sokongan kerajaan Kelantan.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong cadangan supaya dijadikan cuti umum pada tarikh berkenaan di lima negeri Pakatan Rakyat.

Menurutnya, cuti umum wajar diadakan di lima negeri terbabit iaitu Kelantan, Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang sebagai menghargai perubahan pemikiran rakyat yang sebelum ini ketagih Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan baru.

Menurutnya, cuti berkenaan boleh diterima memandangkan suatu perubahan baru telah diterima rakyat, di mana mereka dapat menerima kehadiran PAS yang memperjuangkan Islam.

"Dulu rakyat ketagih dengan Umno dan BN walau pun rasuah, penculikan dan rogol, bunuh manusia sehingga ada yang menggunakan bom. Ini berlaku di sekeliling mereka. Akhirnya sekarang mereka mulai berubah.

"Lama kelamaan mereka faham dan Permatang Pauh merupakan medan perubahan rakyat kepada perubahan itu," ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Negeri Kelantan di Dewan Teratai hari ini.

Semalam Anwar yang juga Ketua Umum KeADILan mencadangkan supaya cuti umum diisytiharkan di lima negeri Pakatan Rakyat pada 16 September setiap tahun.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, untuk mengubah fikiran rakyat bukan sesuatu perkara yang mudah kerana ia memerlukan masa yang lama.

"Kita nak ubah pokok kayu boleh, nak ubah bukit pun boleh, tetapi nak ubah pemikiran manusia alang-alang. Jadi saya boleh terima sesuatu benda baru iaitu cuti pada tarikh berkenaan," ujarnya.

Katanya, sebelum ini pelbagai cuti diberi antaranya Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha dan sebagainya, namun dalam masa yang sama perlu juga diwujudkan cuti berhubung perubahan pemikiran rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap pemimpin Pakatan Rakyat di negeri lain juga disaran menyambut baik cadangan tersebut sebagai menghargai perubahan pemikiran rakyat yang kini semakin positif bagi membela nasib mereka. - mj _

ihsan : Harakah Daily

No comments: